Alergi Makanan Boleh Mengundang Maut | INSTITUT PERTANIAN TROPIKA DAN SEKURITI MAKANAN (ITAFoS)
» ARTIKEL » Alergi Makanan Boleh Mengundang Maut

Alergi Makanan Boleh Mengundang Maut

Alergi secara umumnya adalah alahan atau tahap sensitif seseorang individu terhadap sesuatu bahan atau keadaan tertentu. Terdapat pelbagai jenis alergi telah dilaporkan seperti alergi makanan, alergi sentuhan, alergi terhadap dadah, alergi terhadap debunga dan habuk rumah, alergi terhadap binatang peliharaan dan lain-lain. Alergi makanan merupakan tindakbalas abnormal yang dicetuskan oleh sistem imun terhadap sesuatu jenis makanan. Alergi makanan seringkali di salahanggap dengan intoleransi makanan. Sistem imun tidak terlibat dalam mencetus simptom intoleransi makanan, walaupun kadangkala simptom penyakit sama seperti simptom alergi makanan.

Kepelbagaian jenis makanan di Malaysia menyukarkan untuk mengenalpasti sumber makanan yang menjadi penyebab alergi makanan berlaku. Namun begitu, kategori makanan utama yang boleh menyebabkan alergi termasuk soya, susu, telur, gandum dan bijirin yang mengandungi gluten, makanan laut seperti udang, ikan dan kerang-kerangan dan kekacang (contoh: kacang tanah, kacang walnuts, kacang badam, kacang pain, kacang brazil, kacang pecan dan lain-lain). Selain itu, kewujudan sulfida, perasa dan pewarna sintetik di dalam makanan juga antara penyebab alergi. Kajian dalam kalangan pesakit rhinitis di Malaysia menunjukkan bahawa 47% subjek mengalami alergi terhadap udang dan 30% alergi terhadap nasi. Hal ini menunjukkan bahawa alergi makanan dalam kalangan rakyat Malaysia adalah sesuatu yang serius dan perlu diberi perhatian sewajarnya.

Alergi makanan merupakan reaksi hipersensitiviti oleh sistem imun terhadap komponen dalam makanan tertentu yang kebiasaannya tidak berbahaya kepada badan. Hal ini disebabkan kehadiran komponen alergik iaitu fraksi protin di dalam makanan tersebut yang dikenali sebagai alergen. Dalam keadaan normal, sistem imun akan menghasilkan antibodi (immunoglobulin) untuk melawan komponen-komponen yang berbahaya seperti bakteria dan virus. Immunoglobulin yang dihasilkan oleh badan kerana tindakbalas alergi adalah immunoglobulin E (IgE). IgE akan bertindak balas dengan molekul tersebut dan menghasilkan bahan kimia seperti histamin, sejenis amino asid untuk menghapuskan molekul tersebut daripada badan. Histamin adalah bahan kimia yang memberi kesan yang signifikan terhadap sistem pernafasan, saluran pencernaan, kulit, dan sistem kardiovaskular. Tindakbalas ini akan menghasilkan alergi makanan. Melalui tindakbalas itu, gejala alergi makanan terjadi.

Pada kebiasaannya, simptom alergi makanan muncul dalam masa beberapa minit hingga satu jam setelah makan makanan tertentu. Simptom alergi makanan berbeza berdasarkan jenis makanan diambil dan tindakbalas individu tersebut. Antara simptom alergi makanan yang dialami ialah kegatalan di mulut, hidung atau mata dengan penghasilan air mata yang banyak. Bahagian badan tertentu menjadi bengkak atau bintik-bintik merah kelihatan. Selain itu, pesakit boleh mengalami muntah, sakit perut dan cirit-birit. Pada peringkat yang lebih serius, pesakit boleh mengalami kekejangan atau kesakitan abdomen, kesukaran pernafasan, pitam dan kejutan anafilaksis. Kejutan anafilaksis merupakan tindakbalas alergi paling berbahaya kerana boleh menyebabkan kematian. 

Sehingga kini, rawatan untuk pesakit alergi makanan masih belum dapat dikenalpasti sepenuhnya. Antihistamin merupakan rawatan utama untuk penyakit alergi. Rawatan pantas untuk mengawal tindakbalas alergi makanan melibatkan suntikan adrenalin (epinefrin) yang mengecilkan pembuluh darah dan melawan kesan histamin. Rawatan ini boleh diaplikasi sendiri oleh pesakit melalui pengambilan epinefrin  dengan betul dan teliti. Namun begitu, kaedah terbaik untuk mengawal tindakbalas reaksi alergi makanan adalah dengan menghindari jenis makanan yang boleh menyebabkan alergi. Selain itu, label pada bungkusan makanan yang memperincikan dengan jelas ramuan makanan yang boleh menyebabkan tindakbalas alergi perlu diteliti sebelum dimakan. Keseluruhan artikel boleh dibaca di Dewan Masyarakat, November 2016.

Artikel ini telah ditulis oleh Dr. Rashidah Sukor. Beliau adalah Pensyarah Kanan di Jabatan Sains Makanan, Fakulti Sains dan Teknologi Makanan, Universiti Putra Malaysia. Beliau juga adalah Penyelidik Bersekutu di Laboratori Keselamatan Makanan dan Integriti Makanan, Institut Pertanian Tropika dan Sekuriti Makanan, Universiti Putra Malaysia. Beliau boleh dihubungi pada alamat email berikut: rashidah@upm.edu.my

Tarikh Input: 04/08/2020 | Kemaskini: 04/08/2020 | noordiana

PERKONGSIAN MEDIA

INSTITUT PERTANIAN TROPIKA DAN SEKURITI MAKANAN (ITAFoS)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 1043
03-9769 4299
SXEcAAA~