Transisi Pertanian Di Asia Tenggara – Pemerhatian Terhadap Malaysia | INSTITUT PERTANIAN TROPIKA DAN SEKURITI MAKANAN (ITAFoS)
» ARTIKEL » Transisi Pertanian di Asia Tenggara – Pemerhatian Terhadap Malaysia

Transisi Pertanian di Asia Tenggara – Pemerhatian Terhadap Malaysia

Oleh: Syahaneem Binti Mohamad Zainalabidin

Transisi pertanian di negara Asia Tenggara (AT) mencerminkan laluan yang hampir sama. Perlu diingat bahawa kebanyakan negara (kecuali Thailand), pernah dijajah. Semasa pra-kemerdekaan, dasar negara-negara yang berkaitan dengan luar bandar dan pertanian kebanyakkannya memihak kepada tanah jajahan induk mereka, seperti pembukaan tanah untuk ladang-ladang yang dimiliki oleh syarikat Barat dan dasar pembangunan yang kelihatan berat sebelah terhadap kawasan bandar. Menuju ke arah kemerdekaan dan tahun-tahun berikutnya, dasar negara-negara ini dibuat secara langsung untuk menambah baik sektor luar bandar dengan mengecilkan jurang di antara luar bandar dan bandar. Semasa transisi negara-negara ini daripada kemunduran kepada pembangunan, pembangunan luar bandar dan pertanian serta program pemodenan lain secara serentak telah mengubah sektor luar bandar dan pertanian ke tahap yang lebih baik dan mempengaruhi transisi pertanian. AT telah mengalami perubahan yang paling dramatik dalam sektor pertanian sejak beberapa dekad yang lalu, dan transformasi ini memberi kesan kepada masyarakat dan ekonomi di rantau ini. Transisi pertanian di AT telah beralih daripada masyarakat luar bandar yang bergantung kepada mata pencarian pertanian kepada masyarakat bandar, berindustri dan berasaskan pasaran (De Koninck, 2004), yang menunjukkan proses perubahan sosial yang ketara dalam dunia moden. Perubahan trajektori di rantau ini disebabkan oleh peningkatan integrasi pasaran pengeluaran luar bandar ke dalam ekonomi negara dan global, kepelbagaian mata pencarian, perubahan pergerakan dan corak migrasi serta proses perindustrian dan pembandaran yang berterusan (Drahmoune, 2013).

Dalam kes Malaysia, transisi pertanian boleh dilihat sejak pertengahan abad kedua puluh. Sejak 1957, Malaysia telah melalui lima belas buah rancangan lima tahun pembangunan. Kerajaan Malaysia mentakrif dan menjalankan matlamat pembangunan ekonomi, sosial dan politik melalui rancangan ini. Kerajaan telah memberikan campur tangan dan pelaburan yang besar untuk memastikan Malaysia bebas daripada dasar penjajah yang mendiskriminasikan sektor luar bandar dan pertanian kepada satu ekonomi yang boleh menggerakkan sektor-sektor ini dalam mengurangkan masalah kemiskinan. Walaupun banyak perhatian diberikan kepada pembangunan luar bandar yang menjurus kepada pembangunan pertanian pada tahun-tahun awal selepas kemerdekaan, dasar pertanian Malaysia telah mengalami evolusi akibat daripada perkembangan program perindustrian. Evolusi ini dipengaruhi oleh dasar-dasar dan juga faktor-faktor lain seperti permintaan pasaran tempatan dan antarabangsa. Perancangan dan matlamat pembangunan  yang baharu telah dirangka ke dalam dasar pertanian. Hala tuju dasar baharu ini telah terbukti berkesan dan dapat dilihat melalui perubahan agihan peruntukan sumber untuk sektor pertanian, seperti yang dibentangkan dalam rancangan lima tahun pembangunan Malaysia. Hasil daripada rancangan pembangunan ini, sumbangan sektor pertanian Malaysia dalam KDNK negara telah menunjukkan arah aliran menurun daripada 22.9% pada tahun 1980 kepada hanya 7.4% pada tahun 2020 (Jabatan Perangkaan, 2021).

Di Malaysia, kegiatan ekonomi pekebun kecil kebanyakannya tertumpu di kawasan luar bandar. Zaman penjajahan British pada akhir abad kesembilan belas dan awal abad kedua puluh menyaksikan kebangkitan perladangan berskala besar atau pertanian estet. Ladang estet ini mengusahakan tanaman kontan terutamanya getah dan kelapa sawit. Ladang-ladang milik penjajah ini telah berjaya dinasionalisasikan pada akhir 1990-an. Pertanian kecil, berorientasikan sara hidup dan kebanyakkannya berasaskan penanaman padi, merosot secara mendadak pada akhir abad kedua puluh (Thompson, 2014). Lim (1973) menyatakan bahawa "perubahan struktur ekonomi Malaysia agak pesat dari tahun 1955 hingga 1970". Dalam tempoh tersebut, banyak agensi kerajaan telah ditubuhkan untuk membantu penduduk luar bandar. Beberapa siri usaha kerajaan telah dilakukan untuk menghapuskan kecacatan institusi (Yui, 1980), melibatkan pembaharuan tanah, penyediaan kemudahan infrastruktur, dan mendidik penduduk luar bandar dalam pemodenan nilai bagi meningkatkan keterbukaan mereka terhadap pembangunan ekonomi. Malaysia melalui corak migrasi dalaman yang berbeza, dengan migrasi antara bandar ke bandar yang tinggi dan migrasi luar bandar ke bandar yang rendah, terutamanya jika dibandingkan dengan negara Asia Tenggara yang lain. Berbanding dengan Indonesia dan Filipina yang turut berdepan dengan penurunan jumlah penduduk luar bandar, Malaysia mengalami penurunan jumlah penduduk luar bandar yang lebih ketara sepanjang dekad yang lalu (Preston dan Ibrahim Ngah, 2012). Walaupun sektor pertanian menggaji kira-kira satu juta orang, kira-kira separuh daripadanya adalah pekerja asing, menunjukkan pergantungan kepada pekerja asing. Dengan peningkatan trend migrasi bandar-bandar dan luar bandar-bandar, kebanyakan sektor pertanian telah kehilangan buruh tempatan. Kawasan luar bandar, rancangan pembangunan tanah dan kebun kecil (di mana kebanyakan sektor pertanian dijalankan) dibiarkan didiami oleh warga emas. Ini menjadikan kerja pertanian mencabar, dan tanpa mengupah pekerja asing untuk mengisi ruang pekerjaan, bekerja di ladang adalah mencabar bagi petani tempatan yang semakin tua. Satu lagi cabaran yang muncul untuk Malaysia, seperti juga negara jiran AT yang lain, adalah isu kekurangan tanah yang semakin meningkat untuk meningkatkan kegiatan pertanian. Program pembangunan tanah merupakan strategi penting pada tahun-tahun terawal selepas kemerdekaan untuk membangunkan sektor luar bandar dan pertanian. Pembukaan tanah untuk meningkatkan kegiatan pertanian mengakibatkan penukaran kawasan hutan yang besar, kebanyakannya bagi penanaman getah dan kelapa sawit. Senario ini turut dapat dilihat di Indonesia, terutamanya selepas ledakan komoditi sawit pada tahun 1970-an. Sebaliknya, akibat ledakan komoditi sawit, tanah pertanian yang diperuntukkan untuk tanaman lain seperti getah, koko, padi dan lain-lain telah ditukar kepada kelapa sawit. Dengan keluasan tanah yang banyak digunakan di Semenanjung Malaysia, perluasan tanah dijalankan di Sabah dan Sarawak. Selain itu, syarikat minyak sawit Malaysia juga turut mengembangkan kegiatan pelaburan dan pemilikan ladang kelapa sawit di luar negara, khususnya di Indonesia.

Malaysia telah melalui proses pembangunan yang dinamik selama lebih daripada enam dekad, yang membawa kepada perubahan ketara di dalam sistem ekonomi, politik, organisasi sosial dan budaya sivik. Namun begitu, satu-satunya peluang untuk negara ini berjaya menjadi “pemain global” dalam era liberalisasi dan globalisasi ialah dengan membina daya saing dalam bidang pertanian (Tengku Ariff dan Chubashini, 2009). Pertanian Malaysia mempunyai potensi ekonomi yang besar, tetapi transformasinya mesti diiringi dengan perubahan sosial yang signifikan. Tambahan pula, isu keselamatan makanan menjadi lebih kritikal berikutan impak pandemik terhadap pengeluaran dan harga pertanian. Ini menunjukkan bahawa sektor pertanian khususnya sektor tanaman makanan perlu dikaji semula sebagai sumber berpotensi untuk menberi peluang pekerjaan, serta peningkatan pelaburan modal dalam usaha untuk merevolusikan sektor ini. Terdapat banyak ruang untuk penambahbaikan, contohnya, pemerkasaan petani berskala kecil dan pengukuhan kerjasama strategik dan usaha sama di antara kerajaan, sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan.

 

Rujukan:

De Koninck, R. (2004). The Challenges of the Agrarian Transition in Southeast Asia. Labour, Capital and Society 37: 285-288.

Department of Statistics, Malaysia. (2021). Selected Agricultural Indicators, Malaysia, 2021. https://www.dosm.gov.my/v1/index.php?r=column/cthemeByCat&cat=72&bul_id=TDV1YU4yc1Z0dUVyZ0xPV0ptRlhWQT09&menu_id=Z0VTZGU1UHBUT1VJMFlpaXRRR0xpdz09

Drahmoune, F. (2013) Agrarian Transitions, Rural Resistance and Peasant Politics in SEA. Journal of Current Southeast Asian Affairs 32(1): 111-139.

Preston, D. and Ibrahim Ngah. (2012). Interpreting Rural Change in Malaysia. Singapore Journal of Tropical Geography 33:351-364.

Tengku Mohd Ariff Tengku Ahmad and Chubashini Suntharalingam. (2009). Transformation and Economic Growth of the Malaysia Agricultural Sector. Economic and Technology Management Review 4: 1-10.

Yui, A.H.K. 1980. Rural Development in Malaysia-Issues and Problems Confronting MADA, FELDA and RISDA. Asian Journal of Social Science, Volume 8(1): 64 – 86.

Tarikh Input: 08/11/2022 | Kemaskini: 08/11/2022 | norshahmimi

PERKONGSIAN MEDIA

INSTITUT PERTANIAN TROPIKA DAN SEKURITI MAKANAN (ITAFoS)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 1043
03-9769 4299
SXEdBAR~