Biochar Sebagai Bahan Tambah Bagi Meningkatkan Kualiti Kompos Najis Ayam | INSTITUT PERTANIAN TROPIKA DAN SEKURITI MAKANAN (ITAFoS)
» ARTIKEL » Biochar Sebagai Bahan Tambah Bagi Meningkatkan Kualiti Kompos Najis Ayam

Biochar Sebagai Bahan Tambah Bagi Meningkatkan Kualiti Kompos Najis Ayam

 

Biochar merupakan bahan pepejal yang diperolehi daripada proses karbonisasi biomass. Proses karbonisasi biomass ini dilakukan melalui beberapa proses termokimia seperti pirolisis, karbonisasi hidroterma dan terrofaction (karbonisasi dengan nitrogen). Unsur utama biochar adalah karbon (C). Selain itu, ia juga mengandungi unsur-unsur lain seperti hidrogen (H), oksigen (O) dan (N), sulfur (S) dan mineral (Magnesium, Kalium, Ferum, Kalsium). Komposisi unsur biochar berbeza mengikut jenis biomass dan proses karbonisasi yang digunakan. Biochar biasanya dihasilkan dari pelbagai jenis bahan organik daripada sisa pertanian dan perhutanan seperti sisa kayu, enapcemar dan sisa haiwan. Pelbagai kajian telah dijalankan di mana biochar digunakan sebagai bahan tambah bagi meningkatkan produktiviti dan kualiti sesuatu proses atau sistem. Antaranya proses atau sistem tersebut adalah seperti pengeluaran tenaga, pemulihan tanah, pengurusan sampah dan pengurangan gas rumah hijau. Oleh kerana strukturnya yang berliang dan mempunyai luas permukaan yang besar, biochar telah digunakan secara meluas untuk penambahbaikkan kesuburan tanah dan kualiti air.

 

Di Malaysia sebanyak 1.2 juta tan daging ayam dihasilkan setiap tahun. Sebilangan besar ladang ayam pedaging menjalankan operasi ternakan secara kecil-kecilan dan sederhana melalui kaedah moden dan tradisional dengan pengurusan sisa yang minimum. Salah satu sisa buangan utama yang dihasilkan di dalam industri ayam pedaging adalah najis/tinja. Najis ayam boleh digunakan secara langsung sebagai baja organik. Walau bagaimanapun, penggunaan secara langsung ini boleh  menyebabkan penyebaran patogen, pelarutan bahan fitotoksik ke dalam tanah, pelepasan nutrien berlebihan dan bau yang tidak menyenangkan. Bagi mengatasi masalah ini, najis ayam perlu dirawat sebelum ianya boleh digunakan sebagai baja organik. Salah satu kaedah rawatan yang digunakan secara meluas adalah melalui proses pengkomposan. Pengkomposan adalah proses penguraian aerobik bahan organik bagi menghasilkan bahan yang stabil. Walau bagaimanapun, kualiti kompos terutama kandungan nitrogennya boleh dipengaruhi oleh beberapa faktor seperti suhu, pH dan kelambapan ketika proses pengkomposan sedang berjalan. Nitrogen merupakan salah satu elemen paling penting untuk pertumbuhan tanaman. Kajian terdahulu menunjukkan bahawa kandungan nitrogen yang rendah di dalam kompos najis ayam adalah berpunca daripada kehilangan nitrogen semasa proses pengkomposan. Kehilangan nitrogen ini berlaku melalui proses penguraian nitrogen, pelepasan ammonia, proses nitrifikasi dan denitrifikasi. Kajian mendapati bahawa penurunan kandungan nitrogen semasa proses pengkomposan berlaku akibat daripada proses pelepasan ammonia ke udara. Sehingga kini, beberapa kajian telah dijalankan dengan mencampurkan biochar bersama najis ayam bagi meminimumkan kehilangan nitrogen semasa pengkomposan. Hasil daripada kajian-kajian tersebut mendapati penggunaan biochar dapat mengurangkan pelepasan ammonium dan kehilangan nitrogen sebanyak 60%. Selain daripada nitrogen, unsur mineral yang terdapat pada biochar juga dapat meningkat kandungan mineral di dalam kompos. Struktur biochar yang berliang dan mempunyai luas permukaan yang besar mampu menyerap dan memegang nutrient dan mineral tersebut di dalam kompos sekali gus meningkatkan kualiti produk yang dihasilkan.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Tarikh Input: 28/10/2020 | Kemaskini: 16/06/2021 | mohdhusni

PERKONGSIAN MEDIA

INSTITUT PERTANIAN TROPIKA DAN SEKURITI MAKANAN (ITAFoS)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 1043
03-9769 4299
SXEcRAZ~