Perbandingan Keberkesanan Tumbuhan Bermanfaat Menarik Kedatangan Pemusuh Dan Parasitoid Ulat Bungkus | INSTITUT PERTANIAN TROPIKA DAN SEKURITI MAKANAN (ITAFoS)
» ARTIKEL » Perbandingan Keberkesanan Tumbuhan Bermanfaat Menarik Kedatangan Pemusuh dan Parasitoid Ulat Bungkus

Perbandingan Keberkesanan Tumbuhan Bermanfaat Menarik Kedatangan Pemusuh dan Parasitoid Ulat Bungkus

Daun adalah media tanaman sawit untuk mendapatkan makanan melalui proses fotosintesis. Daun berkurangan 50% dianggarkan akan merencatkan penghasilan sawit sebanyak 30-50%. Malahan, kehilangan daun 10-13% akibat serangan serangga perosak akan menyebabkan kehilangan hasil 33-40%. Serangan ulat bungkus mempunyai risiko seumpama ini kerana perosak ini akan makan kesemua daun dan meninggalkan tulang daun sahaja.

 

Walaupun ulat bungkus dapat dikawal dengan racun kimia, tetapi itu bukan strategi berpanjangan. Umumnya selepas semburan racun berhenti, lambat-laun serangan akan bermula sekali lagi. Di masa kini, sudah terdapat seruan supaya menjaga alam sekitar melalui penggunaan kaedah kawalan yang lebih mesra alam. Justeru itu penanaman tumbuhan bermanfaat menjadi fokus mereka dalam usaha membendung dan membanteras ulat bungkus.

 

Setakat ini terdapat beberapa tumbuhan bermanfaat yang mengeluarkan nektar atau madu di bahagian pangkal pucuk, pangkal daun serta bunga. Nektar ini akan menarik kedatangan serangga bermanfaat. Tumbuhan bermanfaat hendaklah dibincangkan bersama serangga bermanfaat kerana kehadiran tumbuhan ini sebernanya untuk menyediakan bekalan makanan (nektar) kepada mereka.

 

Serangga bermanfaat yang dimaksudkan merangkumi 2 jenis iaitu pertama pemusuh (predator) iaitu serangga berbadan lebih besar yang akan menyerang ulat bungkus secara terus. Kedua ialah parasitoid, ia sejenis serangga berbadan lebih kecil yang akan menusuk tiub pembiakan ke dalam badan ulat bungkus kemudian bertelur di dalam. Ulat bungkus akan mati setelah telur tersebut menetas. Dengan kata lain, populasi kedua-dua jenis serangga bermanfaat ini jika dapat dibanyakkan di ladang sawit, maka ia dapat menjalankan kawalan berkesan terhadap serangan ulat bungkus ke atas tanaman sawit.

 

Keberkesanan tumbuhan bermanfaat terletak pada kandungan nektar di bahagian pokok sama ada pangkal puncuk, pangkal daun atau bunga. Dalam aspek ini, satu kajian oleh pemain industri telah menyimpulkan kesan-kesan penarikan serangga bermanfaat mengikut keutamaan mereka. Kesan yang paling baik ialah menanam Euphorbia heterophylla, diikuti oleh Cassia cobanensis, Turnera subulata, Antigonon leptopus, Vitis japonica dan akhir sekali Turnera ulmifolia. Ini kerana Ephorbia heretophylla dapat menarik kedatangan paling banyak serangga bermanfaat untuk hinggap kemudian diikuti oleh yang lain mengikut kedudukan yang ditetapkan seperti diatas.

 

Pemusuh ulat bungkus yang paling baik termasuk Sycanus dichotomus, C. Arcufer, Platynopus melacanthus dan Cosmolestes piticeps yang sama-sama menyerang terus ke atas ulat bungkus. Parasitoid pula termasuk Eurytoma sp., Dolichogenidae metesea, Brachymeria carinata. Paraphylax varius, Eupelmus catoxanthae dan Goryphus bunoh.

 

Dengan kehadiran serangga-seragga bermanfaat ini di ladang sawit, kawalan yang dijalankan terhadap ulat bungkus semestinya mesra alam di samping juga ianya percuma dan berpanjangan selagi tumbuhan bermanfaat terus wujud di ladang untuk membekalkan makanan serta menyediakan tempat tinggal kepada mereka. Kawalan semula jadi ini dapat menjimatkan wang peladang untuk membeli racun serangga kimia.

 

Artikel ini diterbitkan di dalam Info Pertanian Isu 60. 2021.

Tarikh Input: 13/06/2021 | Kemaskini: 15/03/2022 | fatma

PERKONGSIAN MEDIA

INSTITUT PERTANIAN TROPIKA DAN SEKURITI MAKANAN (ITAFoS)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 1043
03-9769 4299
SXEcPAj~