180 Penyelidik Berkumpul Bincang Isu Pembiakbakaan Tumbuhan, Genetik Dan Bioteknologi Terkini | INSTITUT PERTANIAN TROPIKA DAN SEKURITI MAKANAN (ITAFoS)
» BERITA » 180 Penyelidik Berkumpul Bincang Isu Pembiakbakaan Tumbuhan, Genetik dan Bioteknologi Terkini

180 Penyelidik Berkumpul Bincang Isu Pembiakbakaan Tumbuhan, Genetik dan Bioteknologi Terkini

BANGI – 180 penyelidik dari pelbagai organisasi kerajaan dan swasta serta Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) negara serta luar negara mewakili 18 negara berkumpul di 4th International Plant Breeding Conference 2018 membincangkan isu terkini dalam pembiakbakaan tumbuhan, genetik dan bioteknologi di peringkat antarabangsa.

Persidangan selama tiga hari untuk siri yang keempat ini bertujuan mengetengahkan kemajuan terkini di bidang pembiakbakaan tumbuhan seperti Pembiakbakaan Tanaman Konvensional; Genetik; Bioteknologi dan Biologi Molekul; Pembinaan Kapasiti dan Perspektif Masa Depan dalam Pembiakbakaan Tumbuhan.

Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Malaysia, Dato’ Mohd Sallehhuddin Hassan secara rasminya telah melancarkan persidangan dan berkata semua penyelidik yang hadir akan berkongsi pandangan dan maklumat berkaitan dengan penyelidikan yang sedang dan telah dijalankan berserta penemuan penting yang terhasil. “Setiap hasil penyelidikan yang dijalankan juga akan diterbitkan secara ilmiah untuk kegunaan umum dan penyelidikan pada masa akan datang,” katanya semasa ucapan perasmian konferensi di sini.

"Pemusatan pembiakbakaan tumbuhan konvensional dan kepesatan pemajuan bidang biologi molekul, kejuruteraan genetik, genomik dan bioteknologi telah menjadi sangat penting dan dapat membawa sinergi yang diperlukan dalam penyelidikan dan pembangunan" katanya.

Di samping itu, hasil daripada penyelidikan ini diharapkan dapat memberi manfaat seterusnya menjadi landasan serta membuka peluang kepada pembiakbaka tumbuhan, penyelidik, ahli akademik dan pelajar untuk membuat jalinan rangkaian dan berkongsi penemuan terkini, pengalaman dan pencapaian mereka dalam program pemajuan tanaman.

4th International Plant Breeding Conference 2018 dianjurkan oleh Persatuan Genetik Malaysia dengan kerjasama beberapa agensi awam dan swasta termasuk Institut Pertanian Tropika dan Sekuriti Makanan (ITAFoS) UPM, telah berlangsung pada 13 hingga 15 November 2018 di Hotel Bangi-Putrajaya. Ini merupakan program kali pertama Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Indusri Asas Tani Malaysia yang memberi fokus kepada isu dan cabaran dalam pembiakbakaan tumbuhan negara dan global serta untuk melonjakkan lagi kualiti sektor pertanian negara.  

Sementara itu Pengarah Institut Pertanian Tropika dan Sekuriti Makanan UPM (ITAFoS), Prof. Dr. Mohd Rafii Yusop telah dijemput untuk membentangkan topik ‘Utilization of Marker-Assisted Selection for Rice Improvement.

Enam IPTA yang mengambil bahagian ialah UPM, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Unversiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Malaya (UM) dan Universiti Islam Antarabangsa (UIA).

Turut mengambil bahagian dalam persidangan ialah Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Agensi Nuklear Malaysia (MNA) , Kumpulan Industri Kerajaan Malaysia untuk Teknologi Tinggi (MIGHT), Felcra Plantatation Services (FPSSB), Lembaga Koko Malaysia (MCB), Lembaga Getah Malaysia (MRB), Sime Darby, Green World Genetics (GWG) dan Pertubuhan Kemajuan Penyelidik Pembiakbakaan di Asia dan Oceania (SABRAO).

Tarikh Input: 07/12/2018 | Kemaskini: 07/12/2018 | fatma

PERKONGSIAN MEDIA

INSTITUT PERTANIAN TROPIKA DAN SEKURITI MAKANAN (ITAFoS)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 1043
03-9769 4299
SXEeCAV~