Bengkel Prinsip Mikologi Makanan | INSTITUT PERTANIAN TROPIKA DAN SEKURITI MAKANAN (ITAFoS)
» BERITA » Bengkel "Prinsip Mikologi Makanan"

Bengkel "Prinsip Mikologi Makanan"

8 Ogos 2017, Serdang – Satu Bengkel Prinsip Mikologi Makanan telah dianjurkan oleh Laboratori Keselamatan Makanan dan Integriti Makanan (FOSFI), Institut Pertanian Tropika dan Sekuriti Makanan (ITAFoS), UPM, selama dua hari (08 hingga 09 Ogos). Bengkel ini telah dihadiri oleh tiga pensyarah, enam pelajar siswazah yang masing-masing menjalankan projek penyelidikan dalam bidang mikologi (kaji kulat) dan mikotoksin (toksin hasilan kulat) dan seorang pegawai industri makanan. Dr. Nik Iskandar Putra Samsudin dari Fakulti Sains dan Teknologi Makanan, UPM, yang juga penyelidik bersekutu ITAFOS, bertindak selaku jurulatih.

Jurulatih bengkel sedang mengendalikan sesi kuliah sebelum sesi amali dijalankan. Saiz kuliah yang kecil memberi peluang jurulatih memberikan perhatian kepada setiap peserta

Bengkel ini mengetengahkan peranan dan fungsi kulat sebagai ejen penghasilan makanan (food producer) dan juga perosakan makanan (food spoiler). Para peserta juga telah didedahkan dengan pelbagai kaedah makmal yang relevan dalam penyelidikan kulat makanan. Peranan dan fungsi kulat dalam makanan kurang mendapat perhatian berbanding bakteria makanan yang lebih menerima liputan meluas. Ini berikutan sifat-sifat bakteria seperti lebih cepat membiak berbanding kulat makanan dan kemampuan bakteria menyebabkan keracunan makanan (bacterial food poisoning). Namun begitu, kulat juga telah terbukti mampu menghasilkan toksin (mycotoxins) terutamanya di ladang tanaman komoditi makanan. ITAFoS selaku institusi yang bertanggungjawab atas keselamatan makanan menganggap bencana mikrobiologi (microbiological hazards) sama pentingnya dengan bencana kimia (chemical hazards) dari segi keselamatan makanan. Pelbagai langkah telah diambil oleh ITAFoS seperti penganjuran bengkel-bengkel seumpama ini dalam usaha menangani isu-isu keselamatan makanan negara. Berdasarkan maklumbalas peserta di akhir bengkel, didapati bahawa matlamat dan objektif penganjuran bengkel ini telah dicapai dan para peserta berharap penganjuran bengkel seperti ini boleh dilanjutkan kepada lima hari pada tahun-tahun yang akan datang untuk membolehkan mereka menimba ilmu pengetahuan berkaitan prinsip mikologi makanan dengan lebih mendalam.

 

 

Tarikh Input: 16/08/2017 | Kemaskini: 11/09/2017 | noordiana

PERKONGSIAN MEDIA

INSTITUT PERTANIAN TROPIKA DAN SEKURITI MAKANAN (ITAFoS)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 1043
03-9769 4299
SXEeEA7~