Webinar Keselamatan Makanan Siri 2/2022: “Apakah Impak Bahaya Kimia Dan Mikrobiologi Kepada Keselamatan Makanan?” | INSTITUT PERTANIAN TROPIKA DAN SEKURITI MAKANAN (ITAFoS)
» BERITA » Webinar Keselamatan Makanan Siri 2/2022: “Apakah Impak Bahaya Kimia dan Mikrobiologi kepada Keselamatan Makanan?”

Webinar Keselamatan Makanan Siri 2/2022: “Apakah Impak Bahaya Kimia dan Mikrobiologi kepada Keselamatan Makanan?”

SERDANG, 26 Ogos – Laboratori Keselamatan Makanan dan Integriti Makanan (FOSFI), Institut Pertanian Tropika dan Sekuriti Makanan (ITAFoS), Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama Jabatan Sains Makanan (JSM), Fakulti Sains dan Teknologi Makanan (FSTM), UPM telah menganjurkan program Webinar “Apakah Impak Bahaya Kimia dan Mikrobiologi kepada Keselamatan Makanan?” pada 26 Ogos 2022. Webinar ini adalah siri Webinar Keselamatan Makanan kali kedua dianjurkan pada tahun 2022. Webinar selama hampir 2.5 jam ini telah dikemudikan oleh Dr. Noor Azira Abdul Mutalib, Penyelidik Bersekutu di FOSFI dan juga Pensyarah Kanan di Jabatan Pengurusan dan Khidmat Makanan, FSTM selaku moderator. Perkongsian ilmu telah disampaikan oleh 2 panel jemputan iaitu Dr. Nuzul Noorahya Jambari dan Dr. Nurul Hawa Ahmad, Penyelidik Bersekutu di FOSFI dan juga Pensyarah Kanan di JSM. Bidang kepakaran mereka ialah Keselamatan Kimia dan Mikrobiologi Makanan yang mempunyai kaitan rapat dengan kes-kes keracunan makanan. Jawatankuasa penganjur webinar ini terdiri daripada staf FOSFI.

Antara peserta yang telah hadir dan mengambil bahagian dalam webinar ini

Seramai lebih 140 orang peserta dari dalam dan luar UPM telah menyertai webinar ini. Antara pengisian webinar ialah perbincangan tentang pencemaran kimia dan mikrobiologi makanan, penyakit yang berpunca akibat pencemaran makanan dan kupasan isu-isu berkaitan pencemaran kimia dan mikrobiologi makanan. Memandangkan webinar ini dijalankan secara umum, penyertaan adalah sangat memberangsangkan susulan pemilihan tajuk yang begitu relevan kepada segenap lapisan masyarakat. Penyertaan peserta terdiri daripada staf dan pelajar UPM, institusi pendidikan dan pengajian tinggi awam/swasta, agensi kerajaan, industri makanan serta orang awam. Secara keseluruhannya, webinar ini dilihat telah mencapai objektif penganjurannya iaitu untuk meningkatkan kesedaran peserta terhadap aspek keselamatan kimia dan mikrobiologi makanan dan kepentingan penghindaran pencemaran dan keracunan makanan. Berdasarkan maklumbalas yang diterima, kebanyakan peserta adalah sangat berpuashati dengan webinar ini di samping meminta untuk dipanjangkan jangkamasa webinar dan diadakan bahagian ke-3. Adalah juga diharapkan program seperti ini dapat diteruskan lagi di masa hadapan dalam usaha melahirkan masyarakat yang cakna dengan keselamatan makanan dan mengamalkan pengetahuan yang diperolehi dalam kehidupan seharian mereka. Semua peserta yang hadir telah diberikan e-sijil dan peserta dari UPM turut memperolehi mata kredit Pembangunan Profesional Berterusan (CPD).

 

Taburan penyertaan webinar “Apakah Impak Bahaya Kimia dan Mikrobiologi kepada Keselamatan Makanan?

Tarikh Input: 06/10/2022 | Kemaskini: 13/04/2023 | norshahmimi

PERKONGSIAN MEDIA

INSTITUT PERTANIAN TROPIKA DAN SEKURITI MAKANAN (ITAFoS)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 1043
03-9769 4299
SXEeFAa~