ITAFoS Terima Kunjungan Delegasi Visayas State University, Perkukuh Kerjasama Penyelidikan Antarabangsa | INSTITUT PERTANIAN TROPIKA DAN SEKURITI MAKANAN (ITAFoS) itafos
» BERITA » ITAFoS Terima Kunjungan Delegasi Visayas State University, Perkukuh Kerjasama Penyelidikan Antarabangsa

ITAFoS Terima Kunjungan Delegasi Visayas State University, Perkukuh Kerjasama Penyelidikan Antarabangsa

SERDANG, 24 Julai 2026 – Institut Pertanian Tropika dan Sekuriti Makanan (ITAFoS), Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menerima kunjungan hormat daripada delegasi Visayas State University (VSU), Filipina, yang diwakili oleh Dr. Manuel D. Gajutan Jr. dan Dr. Cyrill John P. Godinez, sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuhkan hubungan kerjasama strategik yang telah dipersetujui melalui Memorandum Persefahaman (MoU) dan Memorandum Perjanjian (MoA) antara kedua-dua institusi. Lawatan balas ini bertujuan memperluaskan jaringan penyelidikan, penerbitan bersama, mobiliti staf dan pelajar, serta memperkukuhkan kerjasama dalam permohonan geran penyelidikan antarabangsa.

  

Program dimulakan pada sebelah pagi di Pejabat ITAFoS dengan sesi taklimat ringkas mengenai latar belakang, kepakaran serta kemudahan penyelidikan ITAFoS yang disampaikan oleh Dr. Mohd. Nazri Md. Nayan, Dr. Aida Zakaria dan Puan Noor Izura Ibrahim. Taklimat tersebut memberikan gambaran menyeluruh mengenai bidang penyelidikan utama ITAFoS, kemudahan makmal serta potensi kerjasama yang boleh diterokai bersama pihak VSU.

 

Selepas sesi taklimat, delegasi telah dibawa melawat Pusat Penyelidikan Haiwan (PPH) bagi melihat projek pembangunan Black Soldier Fly Larvae (BSFL) yang sedang dijalankan sebagai sumber protein alternatif yang mampan untuk industri penternakan. Delegasi turut berpeluang melawat Makmal Produksi Haiwan ITAFoS, di samping bertukar pandangan mengenai teknologi, metodologi penyelidikan serta kemudahan makmal yang dimiliki oleh kedua-dua institusi.

Pada sebelah petang, satu sesi mesyuarat rasmi telah diadakan bersama wakil pengurusan ITAFoS yang diketuai oleh Pengarah ITAFoS, Prof. Dr. Anjas Asmara Samsudin, serta Timbalan Pengarah ITAFoS, Prof. Dr. Hasliza Abu Hassim. Mesyuarat tersebut memberi tumpuan kepada perbincangan hala tuju kerjasama penyelidikan pada masa hadapan, termasuk peluang penerbitan bersama, mobiliti penyelidik dan pelajar, serta permohonan geran penyelidikan antarabangsa.

Dalam sesi tersebut, Dr. Manuel D. Gajutan Jr. dan Dr. Cyrill John P. Godinez turut membentangkan cadangan penyelidikan berkaitan BSFL.  Pembentangan tersebut telah membuka ruang kepada perbincangan yang konstruktif ke arah pelaksanaan penyelidikan bersama yang berpotensi memberi impak kepada pembangunan industri penternakan yang lebih lestari.

Diharapkan lawatan balas ini akan menjadi pemangkin kepada hubungan kerjasama yang lebih erat antara ITAFoS, Universiti Putra Malaysia dan Visayas State University, sekali gus memperkukuhkan jaringan penyelidikan antarabangsa, meningkatkan penerbitan berimpak tinggi, memperluaskan mobiliti akademik, serta menyokong agenda pengantarabangsaan kedua-dua institusi dalam bidang pertanian lestari, sekuriti makanan dan inovasi pemakanan ternakan.

Tarikh Input: 27/07/2026 | Kemaskini: 27/07/2026 | s_hasimah

PERKONGSIAN MEDIA

INSTITUT PERTANIAN TROPIKA DAN SEKURITI MAKANAN (ITAFoS)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 1043
03-9769 4299
X, (03:08:53pm-03:13:53pm, 11 Oct 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]