Pengurusan Penyakit Dan Biosekuriti Ladang Ayam Kampung | INSTITUT PERTANIAN TROPIKA DAN SEKURITI MAKANAN (ITAFoS)
» BERITA » Pengurusan Penyakit dan Biosekuriti Ladang Ayam Kampung

Pengurusan Penyakit dan Biosekuriti Ladang Ayam Kampung

Rinching, Selangor, 25 September 2024 – Seramai 30 orang peserta yang terdiri daripada penternak ayam telah menyertai Program Pemindahan Ilmu bertajuk Pengurusan Penyakit dan Biosekuriti Ladang Ayam Kampung yang telah dijalankan dibawah program geran komuniti @UniMadani Kementerian Kewangan Malaysia. Ianya dianjurkan oleh pihak Insititut Pertanian Tropika dan Sekuriti Makanan (ITAFoS), Universiti Putra Malaysia.

Dr. Mamat Hamidi Kamalludin, Ketua Laboratori Produksi Haiwan Lestari dan Biodiversiti berucap bahawa pentingnya program seperti ini bagi pemindahan ilmu dan mengetahui teknologi terkini dalam pengurusan penyakit ayam kampung dan pengawalan biosekuriti di ladang. Program seperti ini sangat penting untuk memastikan komuniti penternak kita sentiasa berada di hadapan dalam industri penternakan. Program ini diharapkan dapat terus dilaksanakan pada masa hadapan dengan penyertaan yang lebih ramai dari komuniti penternak ayam kampung dalam meningkatkan industri penternakan di Malaysia, katanya.

Dr. Aida Zakaria, Ketua Program UniMadani ini berkata Keterjaminan makanan adalah kebimbangan nasional dan global serta topik hangat di kalangan rakyat Malaysia. Malaysia masih menunjukkan trend keterjaminan makanan yang tidak stabil dan dasar keterjaminan makanan semasa perlu diberi perhatian dan mempertimbangkan bagaimana sistem import, eksport dan teknologi luar bandar boleh membantu. Salah satunya ialah mengurangkan import makanan ke atas produk terpilih seperti ayam. Perusahaan ayam kampung perlu diberi perhatian dalam meningkatkan produktiviti dan keuntungan para penternak.

Bengkel diteruskan dengan ceramah daripada Dr Suriya Kumari Ramiah, Pegawai Penyelidik ITAFoS bertajuk Biosekuriti dan Pengurusan  Ayam Kampung diikuti ceramah daripada Prof Dr. Jalila Abu, pensyarah dari Fakulti Perubatan Veterinar UPM. Para peserta turut menyertai sesi post mortem ayam kampung yang dijalankan oleh Prof Dr Jalila Abu  bagi melihat tahap kesihatan  organ dalaman yang normal atau sebaliknya. Perkongsian pengalaman dan masalah yang dihadapi semasa menjalankan perusahaan ayam kampung daripada peserta juga dapat meningkatkan pengetahuan kepada para peserta yang lain.

Sesi diakhiri dengan penyerahan mesin pembancuh, penimbang makanan dedak, set termometer dan hygrometer serta kamera litar tertutup (CCTV) untuk dipasang diladang ayam kampung di Rinching. Ianya telah disampaikan oleh Dr Mamat Hamidi Kamalludin dan Ketua Kampung Rinching, Tuan Haji Samsudin Zainal. Semoga dengan inisiatif yang diberikan ini dapat membantu para penternak dalam memajukan perusahaan penternakan ayam kampung mereka.

Tarikh Input: 07/10/2024 | Kemaskini: 07/10/2024 | s_hasimah

PERKONGSIAN MEDIA

INSTITUT PERTANIAN TROPIKA DAN SEKURITI MAKANAN (ITAFoS)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 1043
03-9769 4299
S, (10:20:56am-10:25:56am, 10 Sep 2025)   [*LIVETIMESTAMP*]