
Serdang, 12 Februari 2026 – Sebuah Kursus Pengurusan Protokol Dalam Pengurusan Majlis Rasmi UPM Melibatkan Industri/Komuniti telah berjaya dilaksanakan pada 12 Februari yang lalu bertempat di Bilik Latihan, Laboratori Kajian Dasar Pertanian dan Makanan (LKDPM), Institut Pertanian Tropika dan Sekuriti Makanan (ITAFoS), Universiti Putra Malaysia (UPM). Kursus ini dianjurkan oleh Jawatankuasa Jaringan Industri dan Masyarakat ITAFoS UPM dan disampaikan oleh Cik Nur Sabrina Marzuki dari Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat (PSPK), UPM. Penganjuran kursus adalah bertujuan untuk memperkukuh kefahaman serta meningkatkan kompetensi warga ITAFoS dalam aspek pengurusan dan pengendalian majlis rasmi universiti secara profesional, sistematik dan beretika.
Program ini memberi penekanan kepada peningkatan pengetahuan berkaitan tatacara protokol yang betul serta pematuhan kepada garis panduan yang telah ditetapkan. Antara pengisian utama termasuk Penerangan Garis Panduan, Tatacara dan Permohonan Perkhidmatan PSPK, serta Penerangan dan Perkongsian Amalan Protokol dan Pengurusan Majlis Rasmi UPM. Peserta turut didedahkan dengan aspek susunan keutamaan, pengurusan jemputan kenamaan, tatacara penyambutan tetamu kehormat serta penyediaan atur cara majlis yang teratur dan berkesan.

Kursus yang dijalankan selama satu hari ini meliputi sesi ceramah dan perbincangan interaktif bagi memberi ruang kepada peserta untuk bertukar pandangan serta berkongsi pengalaman berkaitan cabaran sebenar dalam pengendalian majlis rasmi. Pendekatan ini membantu meningkatkan keyakinan serta kecekapan warga ITAFoS dalam memastikan setiap majlis yang dianjurkan berjalan lancar dan mematuhi etika protokol yang ditetapkan.

Diharapkan agar segala ilmu dan pendedahan yang diperoleh melalui kursus ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya dalam setiap penganjuran majlis rasmi universiti. Penerapan amalan protokol yang sistematik dan terancang akan membantu memastikan kelancaran pelaksanaan program, seterusnya menyumbang kepada pengukuhan imej serta reputasi institusi di peringkat yang lebih tinggi.
Tarikh Input: 16/02/2026 | Kemaskini: 16/02/2026 | s_hasimah

Institut Pertanian Tropika dan Sekuriti Makanan
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
Malaysia