PRESTASI SEKTOR PADI DAN BERAS: PERSPEKTIF STRUKTUR DAN INSTITUSI | INSTITUT PERTANIAN TROPIKA DAN SEKURITI MAKANAN (ITAFoS)
» BERITA » PRESTASI SEKTOR PADI DAN BERAS: PERSPEKTIF STRUKTUR DAN INSTITUSI

PRESTASI SEKTOR PADI DAN BERAS: PERSPEKTIF STRUKTUR DAN INSTITUSI

YBhg. Datin Paduka Prof. Fatimah Mohamed Arshad, Felo Perunding dan Pemegang Kursi Pertanian dan Keterjaminan Makanan di Universiti Putra Malaysia, telah menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen Kelima Belas Bil. 11(G) Tahun 2023 di Bangunan Parlimen Malaysia pada 12 November 2024.
 
Dalam mesyuarat tersebut, beliau memberi penerangan mengenai struktur dan institusi sektor padi dan beras negara sebagai pelengkap kepada Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2023. Salah satu cadangan pembaharuan beliau adalah liberalisasi sektor secara terpimpin melalui penggantian subsidi input kepada subsidi output. Langkah ini akan membolehkan petani membuat keputusan terbaik bagi pengurusan sawah mereka. Manfaatnya termasuk pengurangan kos agihan baja oleh Kerajaan dan pengukuhan peranan NAFAS dalam pembangunan kapasiti pesawah, seterusnya meningkatkan persaingan dengan mengurangkan monopoli dan oligopoli dalam sektor ini.
 
Prof. Fatimah turut mencadangkan dasar yang mesra kepada pesawah bersaiz kecil dengan memberi tumpuan kepada penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk menghasilkan mesin, jentera, dan kilang berskala kecil serta sederhana yang pintar. Ini dijangka meningkatkan penglibatan pesawah dalam aktiviti nilai-tambah dan menjadikan sektor padi dan beras lebih berdaya saing. Langkah ini sangat penting memandangkan 90% pesawah memiliki tanah kurang daripada tiga hektar.
 
Selain itu, beliau mencadangkan penambahbaikan pada mekanisme harga padi dan beras melalui pengapungan harga serta pemberian skim bantuan seperti insurans atau “deficiency payment.” Sokongan tambahan dalam bentuk infrastruktur, pendidikan, kemudahan kesihatan, latihan kemahiran teknologi digital, dan perkhidmatan pengembangan yang efisien juga dicadangkan untuk melindungi pesawah daripada kerugian apabila harga padi dan beras menurun.
 
Sumber gambar: Parlimen Malaysia
 

Tarikh Input: 14/11/2024 | Kemaskini: 14/11/2024 | ilyaaqeela

PERKONGSIAN MEDIA

INSTITUT PERTANIAN TROPIKA DAN SEKURITI MAKANAN (ITAFoS)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 1043
03-9769 4299
X, (12:19:09pm-12:24:09pm, 16 Jul 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]