PROGRAM PENINGKATAN KEMAHIRAN PENTERNAKAN RUMINAN KECIL PERAK PERKASA ILMU DAN KEMAHIRAN PENTERNAK | INSTITUT PERTANIAN TROPIKA DAN SEKURITI MAKANAN (ITAFoS) itafos
» BERITA » PROGRAM PENINGKATAN KEMAHIRAN PENTERNAKAN RUMINAN KECIL PERAK PERKASA ILMU DAN KEMAHIRAN PENTERNAK

PROGRAM PENINGKATAN KEMAHIRAN PENTERNAKAN RUMINAN KECIL PERAK PERKASA ILMU DAN KEMAHIRAN PENTERNAK

MANONG, 14 Mei 2026 – Fakulti Perubatan Veterinar, Universiti Putra Malaysia dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Perak telah menganjurkan Program Seminar Peningkatan Kemahiran Penternakan Ruminan Kecil pada 13 hingga 14 Mei 2026 bertempat di Novotel Taiping dan Koperasi Agro Ternak Melayu Perak Berhad, Manong, Perak. Program ini juga merupakan sebahagian daripada Projek Memperkasa Komuniti Penternakan Kambing melalui Program Pemindahan llmu dan lnovasi UPM bersama Koperasi Agro Ternak Melayu Perak.

Program yang berlangsung selama dua hari ini bertujuan memberi pendedahan serta meningkatkan kemahiran peserta dalam aspek pengurusan penternakan kambing secara moden dan lestari. Antara fokus utama yang diketengahkan termasuk pengurusan pemakanan, kesihatan ternakan, pengurusan rekod, penyediaan makanan ternakan serta strategi pemasaran dalam industri ruminan kecil.

Seminar dan bengkel ini turut menampilkan kepakaran daripada Laboratori Produksi Haiwan Lestari dan Biodiversiti, Institut Pertanian Tropika dan Sekuriti Makanan (ITAFoS), Universiti Putra Malaysia yang dijemput sebagai penceramah dan fasilitator program.

Antara pengisian utama program ialah ceramah bertajuk “Pengurusan Pemakanan Ruminan Kecil” yang disampaikan oleh Dr. Mohd Nazri Md Nayan. Ceramah tersebut memberi penekanan terhadap kepentingan formulasi makanan ternakan yang seimbang bagi meningkatkan produktiviti dan kesihatan kambing.

Selain itu, sesi soal jawab interaktif bersama pakar turut diadakan melibatkan Prof. Dr. Anjas Asmara Samsudin bersama wakil daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Perak dan Universiti Putra Malaysia. Sesi ini memberi peluang kepada peserta untuk mendapatkan penerangan secara langsung berkaitan cabaran dan isu semasa dalam industri penternakan kambing.

Program turut diserikan dengan sesi amali teknik pembuatan silaj dan penyimpanan rekod yang dikendalikan oleh Prof. Dr. Hasliza Abu Hassim, Dr. Mohd Nazri Md Nayan, Encik Eddy Shahriza Jamein serta Encik Ahmad Zahidi Mohamed Rashid. Melalui sesi amali ini, peserta didedahkan dengan teknik penyediaan silaj yang betul sebagai alternatif makanan ternakan berkualiti serta kaedah penyimpanan rekod yang sistematik bagi membantu meningkatkan pengurusan ladang.

 

Penganjuran program ini diharap dapat membantu memperkukuh pengetahuan dan kemahiran penternak tempatan sekali gus menyokong pembangunan industri penternakan ruminan kecil yang lebih mampan, berdaya saing dan berteknologi di Negeri Perak.

Tarikh Input: 20/05/2026 | Kemaskini: 20/05/2026 | s_hasimah

PERKONGSIAN MEDIA

INSTITUT PERTANIAN TROPIKA DAN SEKURITI MAKANAN (ITAFoS)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 1043
03-9769 4299
X, (06:17:49am-06:22:49am, 28 Sep 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]