Seiring dengan perkembangan industri ternakan, semakin banyak keperluan untuk mencari kaedah yang lebih mampan bagi meningkatkan kesihatan dan produktiviti haiwan serta mengurangkan kesan terhadap alam sekitar. Salah satu bahan yang menjadi perhatian besar sejak kebelakangan ini ialah biochar (bioarang). Biochar ialah bahan kaya karbon yang dihasilkan melalui proses pemanasan biojisim seperti kayu, sisa tanaman, atau sisa pertanian dalam keadaan kadar oksigen yang rendah. Walaupun biochar telah lama digunakan dalam penambahbaikan tanah dan perubatan tradisional, para penyelidik kini sedang meneroka potensinya sebagai bahan tambahan makanan ternakan yang mampan.
Salah satu manfaat utama biochar dalam makanan ternakan ialah keupayaannya untuk meningkatkan kesihatan sistem pencernaan. Disebabkan oleh struktur berliang dan luas permukaannya yang besar, biochar mampu mengikat bahan berbahaya seperti toksin, racun perosak, dan sebatian mikrob yang tidak diingini dalam saluran pencernaan. Ini membantu mengurangkan kesan negatif makanan ternakan yang tercemar serta menyokong sistem pencernaan yang lebih sihat. Beberapa kajian melaporkan bahawa haiwan yang diberi biochar menunjukkan penggunaan nutrien yang lebih baik, kecekapan penukaran makanan yang meningkat, serta pertambahan berat badan yang lebih tinggi. Kesan positif juga diperhatikan terhadap kualiti susu, kualiti daging, dan prestasi keseluruhan ternakan.
Biochar juga berpotensi membantu meningkatkan kesihatan usus yang lebih sihat. Kajian telah menunjukkan bahawa biochar dapat mengurangkan bakteria berbahaya seperti Escherichia coli dan Salmonella dan menggalakkan pertumbuhan mikroorganisma bermanfaat seperti Lactobacillus. Keseimbangan mikrob yang lebih baik dalam usus dapat meningkatkan proses pencernaan, menguatkan sistem imun, dan mengurangkan gangguan pencernaan seperti cirit-birit, khususnya dalam ternakan ayam.
Selain itu, kelebihan utama biochar ialah potensinya dalam mengurangkan pelepasan gas rumah hijau daripada industri ternakan. Proses pencernaan secara semula jadi oleh haiwan ruminan seperti lembu telah menghasilkan gas metana (CH4) yang boleh menyumbang dan memberi kesan kepada perubahan iklim. Beberapa kajian mendapati bahawa penambahan biochar dalam makanan membantu mengurangkan penghasilan metana dengan meningkatkan aktiviti mikrob dan proses fermentasi dalam rumen. Ini menunjukkan bahawa biochar boleh menjadi salah satu bahan tambahan makanan yang penting dalam pembangunan sistem ternakan yang lebih mesra iklim.
Manfaat biochar tidak terhenti di dalam sistem pencernaan sahaja, malahan selepas ia melalui sistem tersebut. Apabila dikumuhkan bersama najis ternakan, biochar dapat membantu mengekalkan nutrien serta mengurangkan pelepasan amonia dan kehilangan nutrien semasa penyimpanan. Najis ternakan yang diperkaya dengan biochar kemudiannya boleh digunakan pada tanah untuk meningkatkan kesuburan tanah, keupayaan pegangan air, dan ketersediaan nutrien. Selain itu, biochar turut menyumbang kepada penyimpanan karbon jangka panjang dalam tanah, sekali gus menyokong amalan pertanian yang lebih mampan dan kitar semula nutrien.
Biochar juga berpotensi mengurangkan kebergantungan terhadap antibiotik dan bahan tambahan makanan sintetik dengan menyokong kesihatan haiwan secara semula jadi serta merencat pertumbuhan patogen berbahaya. Perkara ini amat penting apabila industri ternakan kini mencari alternatif yang lebih selamat dan mampan kepada kaedah yang sedia ada iaitu penggunaan antibiotik sebagai penggalak pertumbuhan.
Walaupun mempunyai banyak potensi dan manfaat, keberkesanan biochar boleh berubah dan berbeza, bergantung kepada jenis biojisim (biomass) yang digunakan, keadaan proses penghasilan, dan kadar atau jumlah pemberian dalam makanan ternakan. Sesetengah kajian melaporkan keputusan yang tidak konsisten, dan penggunaan secara berlebihan mungkin boleh mempengaruhi penyerapan beberapa nutrien dan vitamin tertentu di dalam sistem percernaan haiwan. Oleh itu, lebih banyak lagi kajian yang perlu dijalankan bagi membangunkan piawaian dan garis panduan penggunaan biochar yang sesuai untuk pelbagai jenis ternakan.
Secara keseluruhannya, biochar menunjukkan potensi yang sangat besar sebagai bahan tambahan makanan ternakan yang mampan untuk sistem pengeluaran ternakan moden. Keupayaannya untuk meningkatkan kesihatan haiwan, memperbaiki kecekapan makanan, mengurangkan pencemaran alam sekitar, dan menyokong amalan pertanian mampan menjadikannya satu inovasi yang menjanjikan bagi masa depan industri ternakan.
Rujukan
Schmidt HP, Hagemann N, Draper K, Kammann C. The use of biochar in animal feeding. PeerJ. 2019 Jul 31;7:e7373. doi: 10.7717/peerj.7373. PMID: 31396445; PMCID: PMC6679646.
Tarikh Input: 20/05/2026 | Kemaskini: 20/05/2026 | s_hasimah

Institut Pertanian Tropika dan Sekuriti Makanan
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
Malaysia