Peranan Teknologi Penderiaan Jauh (Remote Sensing) Dalam Keselamatan Makanan Global | INSTITUT PERTANIAN TROPIKA DAN SEKURITI MAKANAN (ITAFoS) itafos
» ARTIKEL » Peranan Teknologi Penderiaan Jauh (Remote sensing) dalam Keselamatan Makanan Global

Peranan Teknologi Penderiaan Jauh (Remote sensing) dalam Keselamatan Makanan Global

Peranan Teknologi Penderiaan Jauh (Remote sensing) dalam Keselamatan Makanan Global

Isu keselamatan makanan (food security) kini menjadi fokus utama global ekoran perubahan iklim yang tidak menentu, pertambahan populasi dunia, dan gangguan rantaian bekalan. Selama beberapa dekad yang lalu, populasi global telah melebihi 7.5 bilion, dengan majoriti penduduk menetap di kawasan bandar. Walau bagaimanapun, seramai 700 juta orang di 76 buah negara masih mengalami ketidakjaminan makanan. Pertambahan populasi ini telah memberi tekanan yang amat besar ke atas sumber makanan dan air. Pengeluaran makanan global mesti meningkat sebanyak 50% untuk memenuhi permintaan populasi dunia yang diunjurkan menjelang tahun 2050. Keselamatan makanan bukan sahaja merujuk kepada ketersediaan bekalan makanan yang cukup, malah merangkumi akses, kebolehcapaian, dan kestabilannya bagi jangka masa panjang.

Bagi menangani cabaran ini, sektor pertanian tidak lagi boleh bergantung semata-mata kepada kaedah tradisional. Di sinilah teknologi penderiaan jauh (remote sensing) memainkan peranan penting sebagai penukar permainan (game-changer). Remote sensing ialah teknologi mengumpul maklumat mengenai permukaan bumi dari jarak jauh - kebanyakannya menggunakan penderia (sensors) yang dipasang pada satelit, pesawat udara, atau dron (UAV). Penderia ini menangkap pantulan cahaya (seperti cahaya nampak dan sinar inframerah) daripada tanaman dan tanah untuk menganalisis tahap kesihatan tumbuhan serta keadaannya secara masa-nyata (real-time).

Antara applikasi utama Teknologi Penderiaan Jauh terhadap Keselamatan Makanan dalam membantu memperkukuh keselamatan makanan adalah menerusi beberapa domain utama:

1. Pemantauan Kesihatan Tanaman & Indeks NDVI

Menggunakan Normalized Difference Vegetation Index (NDVI), penderia satelit dapat membezakan antara tanaman yang sihat dan kurang baik. Tanaman hijau yang sihat menyerap lebih banyak cahaya merah dan memantulkan lebih banyak inframerah dekat (Near-Infrared). Manfaatnya, petani dapat mengesan kawasan tanaman yang kekurangan nutrien atau diserang penyakit lebih awal sebelum tanda-tanda kerosakan fizikal jelas kelihatan pada mata kasar.

2. Ramalan Hasil Tuaian

Dengan menggabungkan data sejarah penginderaan jauh, cuaca, dan model pertumbuhan tanaman, kerajaan dan badan antarabangsa boleh meramal jumlah hasil tuai bagi sesuatu musim. Ini dapat membantu pihak berkuasa merancang import/eksport bekalan makanan dengan tepat dan mencegah krisis kelaparan atau lonjakan harga mengejut.

3. Pengurusan Sumber Air & Pengairan

Penderia terma (thermal sensors) pada satelit dapat mengukur kelembapan tanah dan pemeluwapan air dari tanaman (evapotranspiration). Dengan ini, petani dan pengusaha tanaman boleh melaksanakan pengairan dengan lebih tepat dan tersusun. Sebagai contoh, penyaluran air hanya ke kawasan yang memerlukan, sekali gus menjimatkan sumber air negara. Selain itu, keadaan permukaan tanah yang tidak rata juga boleh dikesan dengan menggunakan teknologi UAV. Ini dapat membantu mengelakkan pertumbuhan tanaman yang tidak sekata atau tenggelam disebabkan permukaan yang tidak sekata ini.

 

4. Amarani Awal Bencana Alam & Perubahan Iklim

Gambar satelit atau dron dapat membantu pemantauan kawasan yang terdedah kepada banjir, kemarau panjang, atau serangan perosak dan penyakit. Melalui teknologi ini, ianya dapat memberikan amaran awal kepada komuniti tani untuk mengambil langkah mitigasi sebelum kemusnahan skala besar berlaku.

5. Penjimatan masa dan tenaga

Penggunaan dron semburan (benih, baja dan racun) dalam tanaman dapat meningkatkan kecekapan operasi dan penjimatan masa serta tenaga manusia. Dron mampu menyembur kawasan seluas 1 hingga 2 hektar dalam masa sekitar 10–15 minit sahaja, berbanding kaedah manual yang memakan masa seharian. Selain itu, liputan menyeluruh menggunakan sistem navigasi GPS untuk memastikan setiap sudut ladang disembur secara sekata tanpa ada kawasan yang terlepas. Petani juga tidak perlu lagi menggalas tangki racun yang berat dan berjalan di tengah ladang. Operasi dron dikawal dari jarak jauh, mengurangkan risiko terhidu atau terkena bahan kimia berbahaya.

Kesimpulan

Teknologi Penderiaan Jauh dapat mengubah landskap pertanian daripada kaedah reaktif kepada pertanian tepat (precision agriculture) yang proaktif. Dengan integrasi data satelit, dron, dan kecerdasan buatan (AI), negara dapat menjamin bekalan makanan yang mencukupi, mampan, dan berdaya tahan terhadap cabaran masa depan.

 

Artikel ini ditulis oleh En. Mohamad Husni Omar. Beliau adalah Pegawai Penyelidik Kanan di Laboratori Pengeluaran Tanaman Makanan Pintar-Iklim, Institut Pertanian Tropika dan Sekuriti Makanan, Universiti Putra Malaysia. Emel: mohdhusni@upm.edu.my

 

 

Tarikh Input: 06/08/2026 | Kemaskini: 06/08/2026 | mohdhusni

PERKONGSIAN MEDIA

INSTITUT PERTANIAN TROPIKA DAN SEKURITI MAKANAN (ITAFoS)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 1043
03-9769 4299
X, (05:09:04pm-05:14:04pm, 20 Sep 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]