MEMPERKASA WARGA DESA DEMI SEKURITI MAKANAN NEGARA | INSTITUT PERTANIAN TROPIKA DAN SEKURITI MAKANAN (ITAFoS)
» ARTIKEL » MEMPERKASA WARGA DESA DEMI SEKURITI MAKANAN NEGARA

MEMPERKASA WARGA DESA DEMI SEKURITI MAKANAN NEGARA

Penulis : Dr. Mamat Hamidi Kamalludin

Kerajaan telah menetapkan sasaran melalui Dasar Agromakanan Negara (DAN 2.0) untuk mencapai kadar sara diri (SSL) menjelang tahun 2025 bagi komoditi ternakan seperti daging lembu/kerbau sebanyak 50% (SSL tahun 2020 untuk lembu/kerbau adalah 20.19% dan kambing/bebiri 8.21%). Ternakan ruminan menjadi tumpuan kerana SSL yang sangat rendah berbanding bukan ruminan seperti ayam yang melebihi 100%. Bagi mencapai sasaran SSL DAN 2.0 untuk daging lembu/kerbau, kadar pengeluaran harus ditingkatkan sebanyak lebih 2 kali ganda.

 Gambar Ihsan : Google

Menurut definisi Food and Agriculture Organization (FAO), sekuriti makanan sesebuah negara bermaksud semua rakyat boleh mendapatkan makanan yang mencukupi, selamat, dan berkhasiat untuk hidup sihat dan aktif. Bagi mencapai aspek kecukupan di dalam definisi keselamatan makanan, ketersediaan makanan atau kewujudan fizikal makanan merupakan salah satu faktor utama yang bergantung kepada pengeluaran domestik, stok makanan dan import.

 

Salah satu isu yang diketengahkan di dalam DAN 2.0 adalah kebergantungan kepada bahan makanan ternakan import. Sektor ternakan telah mengalami tekanan yang kuat akibat kelemahan nilai ringgit Malaysia di pasaran, mengakibatkan kenaikan harga barangan import yang secara am diurusniaga menggunakan matawang asing terutamanya dolar Amerika. Pengimportan komponen penting untuk bahan makanan ternakan seperti jagung dan hampas kacang soya telah meningkatkan kos pengeluaran ternakan seperti ayam, lembu dan kambing.

 

Jumlah haiwan ternakan perlu ditingkatkan bagi memenuhi keperluan penduduk dan meningkatkan SSL sektor ternakan. Selari dengan peningkatan jumlah ternakan, bahan makanan berkualiti tinggi haruslah tersedia dengan kuantiti dan harga yang kompetatif bagi menjamin kos pengeluaran yang rendah serta harga jualan yang mampu dinikmati oleh penduduk. Kos makanan secara amnya adalah sebanyak 70% dari kos pengeluaran keseluruhan ternakan.

 

Bagi mengurangkan kos penyediaan makanan ternakan, bahan asas yang diimport boleh digantikan dengan sumber tempatan. Tanaman seperti petai belalang, daun nangka, daun kelor dan kacang koro dilaporkan mengandungi nutrien yang tinggi berbanding rumput terutamanya protein, yang penting untuk tumbesaran ternakan. Tanaman ini sesuai untuk dijadikan sebagai sumber makanan utama untuk ternakan ruminan menggantikan jagung dan hampas soya yang diimport.

 

Sehubungan dengan itu, pihak kerajaan dan agensi telah mengambil langkah-langkah  untuk penyediaan makanan ternakan seperti projek tanaman jagung dan rumput Napier bagi mengurangkan pengimportan bahan. Walau bagaimanapun, projek seperti ini memerlukan kawasan tanaman yang luas bagi memastikan ianya berskala ekonomik untuk pengusaha.

 

Tanaman makanan ternakan yang bernutrisi tinggi seperti petai belalang dan lain-lain boleh diusahakan secara sambilan yang tidak memerlukan kawasan yang besar dan dapat menyokong strategi kerajaan dalam penghasilan tanaman makanan ternakan. Ianya boleh diusahakan secara berkelompok mengikut daerah atau kampung yang disertai oleh penduduk secara kecil-kecilan bergantung kepada kawasan tanah yang dimiliki. Jenis tanaman untuk sesuatu kawasan/daerah perlu diselaraskan bagi memastikan bekalan mencukupi secara kolektif dan konsisten samada untuk penggunaan segar atau diproses.

 

Aktiviti berkelompok secara sambilan ini dapat membantu warga desa menjana pendapatan tambahan tanpa perlu menjalankan kerja yang intensif. Pokok hanya perlu ditanam di kawasan tanah penduduk, sekeliling rumah, tanah terbiar dan kawasan yang tidak digunakan.  Tanaman perlu dibaja sambil menunggu ianya matang dan boleh dijual bahagian dedaun/buah sebagai bahan makanan ternakan. Penghasilan dedaun/buah juga adalah berterusan tanpa perlu penanaman baru seperti jagung dan rumput Napier.

 

Secara kolektif, penglibatan masyarakat di sesebuah kawasan yang dikenalpasti dapat menghasilkan bahan asas makanan ternakan yang berkualiti sekaligus mengurangkan kebergantungan terhadap bahan import. Disamping itu, penduduk yang mempunyai kawasan tanah yang lebih besar boleh menjalankan aktiviti ini secara intensif dan komersil.

 

Agen pengelolaan dan khidmat nasihat perlu dilantik bagi memastikan aktiviti ini diurus dengan cekap dan lestari. Fungsi agen yang dilantik adalah untuk menjadualkan proses membeli dan logistik bagi menghantar hasil kepada penternak atau kilang pemproses bahan mentah kepada pelet atau total mix ration (TMR) bagi tujuan penyimpanan dan pengagihan ke kawasan lain.

 

Selain daripada hasil pendapatan tambahan, peserta program seumpama ini perlu diberi sokongan dengan insentif permulaan berbentuk bantuan benih dan baja. Khidmat nasihat pakar dan pemantauan juga perlu bagi memastikan pengeluaran yang maksimum serta pengawalan sebarang penyakit atau serangan serangga.

 

Penyertaan penduduk dari pelbagai kawasan atau desa di seluruh negara dapat membantu mengurangkan import bahan makanan ternakan dan kos pengeluaran ternakan bagi menyokong strategi kerajaan meningkatkan SSL ternakan ruminan. Dengan bantuan dan pengurusan agensi kerajaan untuk program ini dapat memperkasakan warga desa dari segi pengetahuan dan ekonomi bagi menyokong ke arah kelestarian pengeluaran ternakan, sekaligus untuk sekuriti makanan negara.

Tarikh Input: 14/05/2025 | Kemaskini: 14/05/2025 | s_hasimah

PERKONGSIAN MEDIA

INSTITUT PERTANIAN TROPIKA DAN SEKURITI MAKANAN (ITAFoS)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 1043
03-9769 4299
X, (10:58:21pm-11:03:21pm, 04 Jun 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]