MENJAMIN BEKALAN AYAM MALAYSIA: CABARAN, KESAN GLOBAL DAN PENYELESAIAN | INSTITUT PERTANIAN TROPIKA DAN SEKURITI MAKANAN (ITAFoS) itafos
» ARTIKEL » MENJAMIN BEKALAN AYAM MALAYSIA: CABARAN, KESAN GLOBAL DAN PENYELESAIAN

MENJAMIN BEKALAN AYAM MALAYSIA: CABARAN, KESAN GLOBAL DAN PENYELESAIAN

Ayam ialah sumber protein utama rakyat Malaysia, menjadikan industri ini kritikal bagi keselamatan makanan negara. Pada 2023, pengeluaran ayam mencecah 1.54 juta tan metrik, mencukupi kebanyakan permintaan domestik. Namun, Malaysia bergantung pada import soya (~1.28 juta tan MY23/24) dan jagung, menyebabkan kos pengeluaran sensitif kepada pasaran global. Kos makanan ayam merangkumi 60–70% daripada kos pengeluaran ayam, jadi turun naik harga memberi kesan langsung kepada harga runcit (purata RM9–RM10/kg pada 2023–2024).

Faktor luaran seperti perang Rusia–Ukraine mengganggu bekalan gandum dan baja dunia, dn ini meningkatkan kos makanan dan harga ayam. Kenaikan harga tenaga menambah beban kos produksi ayam, manakala wabak penyakit seperti influenza burung boleh mengurangkan bekalan ayam dengan mendadak. Ketidakstabilan kadar pertukaran wang asing  turut mempengaruhi kos bahan import.

Bagi melindungi keselamatan makanan, Malaysia memerlukan pendekatan berperingkat. Dalam jangka masa pendek, bantuan tunai bersasar kepada isi rumah perlu dilaksanakan semasa kenaikan harga, disertai laporan telus mengenai import makanan ayam, stok ayam negara dan harga indeks bagi tujuan mengubal dasar. Dalam jangka masa sederhana, usaha perlu difokuskan kepada diversifikasi sumber makanan ayam seperti penggunaan PKC, black soldier fly dan hasil sampingan agro, di samping menggalakkan pemprosesan makanan tempatan haiwan dan mewujudkan stok makanan yang strategik. Dalam jangka masa panjang, industri perlu memperkukuh biosekuriti ladang, melabur dalam penyelidikan untuk meningkatkan kecekapan kadar pertukaran makanan, serta memperkukuh kerjasama perdagangan serantau bagi menjamin bekalan gandum dan soya ketika krisis global.

Industri ayam yang berdaya tahan akan memastikan bekalan stabil dan harga mampu milik, sekali gus melindungi isi rumah rakyat Malaysia dan mengekalkan sekuriti makanan negara.

 

Ditulis oleh,

Dr Suriya Kumari Ramiah

Pegawai Penyelidik  Kanan

Tarikh Input: 12/09/2025 | Kemaskini: 12/09/2025 | s_hasimah

PERKONGSIAN MEDIA

INSTITUT PERTANIAN TROPIKA DAN SEKURITI MAKANAN (ITAFoS)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 1043
03-9769 4299
W, (12:40:04am-12:45:04am, 14 Aug 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]