Penyakit Hawar Bulir Bakteria Tanaman Padi | INSTITUT PERTANIAN TROPIKA DAN SEKURITI MAKANAN (ITAFoS)
» ARTIKEL » Penyakit Hawar Bulir Bakteria tanaman padi

Penyakit Hawar Bulir Bakteria tanaman padi

Penyelidik sering mengutarakan kebimbangan mengenai penyakit bakteria yang dipanggil Bacterial Panicle Blight (BPB), menjejaskan hasil dan kualiti padi kini dikesan sebagai ancaman baharu industri padi negara. Penyebab utama, Burkholderia glumae, telah dikenal pasti sebagai lebih agresif dan meluas daripada bakteria spesies B. gladioli dan B. plantarii. B. glumae menimbulkan ancaman serius kepada pengeluaran padi, dengan keupayaan untuk menjangkiti tanaman pada semua peringkat pertumbuhan. Bakteria boleh menyebabkan reput benih dan membantutkan pertumbuhan anak benih pada awal perkembangan. Apabila tanaman matang, penyakit ini merebak, membawa kepada lesi bahagian seludang dan paling kritikal, kerosakan pada tisu semasa fasa pembiakan. Bahagian pokok yang dijangkiti - bahagian yang mengandungi bijirin padi selalunya gagal mengisi dan bijirin dijangkiti tersebar tidak sekata pada bulir (buah padi), mengakibatkan kehilangan hasil yang ketara. Pakar pertanian memberi peringatan bahawa tanpa pengurusan penyakit ini yang betul, serangan penyakit hawar bulir bakteria boleh memberi kesan ketara kepada hasil tuaian padi dan kestabilan ekonomi.

Rajah 1. Simptom penyakit hawar bulir bakteria yang disebabkan oleh Burkholderia glumae: Panikel yang dijangkiti menunjukkan perubahan warna spikelet dan bijirin tidak terisi

 

Apabila perubahan iklim semakin meningkat, penyelidik menggunakan aplikasi penggera berkaitan serangan penyakit BPB yang boleh dikenalpasti pada kawasan yang mempunyai haba dan kelembapan tinggi di kawasan penanaman padi. Bacterial Panicle Blight (BPB), yang disebabkan oleh Burkholderia glumae, telah mencetuskan kerugian tanaman yang ketara di beberapa negara, terutamanya pada tahun-tahun yang mengalami suhu yang tinggi. BPB amat berbahaya kerana ia boleh menyerang pada fasa paling kritikal pertumbuhan padi iaitu fasa pembiakan. Para saintis telah mengaitkan serangan BPB utama dengan musim panas dan lembap yang luar biasa, terutamanya pada kawasan yang mempunyai suhu malam yang tinggi.

Kebolehsuaian patogen juga membimbangkan. B. glumae boleh hidup dan membiak dalam suhu melebihi 40°C, menjadikannya boleh cepat membiak semasa gelombang cuaca panas. Apabila suhu global meningkat, BPB akan menjadi masalah yang lebih kerap dan teruk, menimbulkan ancaman serius kepada keselamatan makanan dan ekonomi yang bergantung kepada industri beras. Sehingga kini, tiada kajian sistematik telah dijalankan untuk mengkaji secara langsung kesan peningkatan suhu terhadap penyebaran penyakit BPB. Dengan corak iklim berubah dengan cepat, penyelidik menekankan keperluan mendesak untuk kajian yang disasarkan dan penyelesaian terhadap kawalam penyakit ini.

Memandangkan penyakit hawar bulir bakteria (BPB) semakin mengancam pengeluaran beras di seluruh dunia, para saintis dan petani kini memberi tumpuan kepada amalan pertanian dan teknologi diagnostik lanjutan bagi mengenal pasti serangan patogen ini. Oleh kerana tiada kaedah kawalan kimia yang efektif untuk BPB, langkah pencegahan dan pengesanan awal menjadi strategi utama dalam pengurusan penyakit ini. Salah satu pendekatan yang berkesan ialah pelarasan jadual penanaman padi. Kajian menunjukkan bahawa penanaman awal iaitu sebelum suhu dan kelembapan mencapai paras tertinggi dapat mengurangkan kejadian penyakit BPB. Di samping itu, pengurusan baja nitrogen yang optimum juga memainkan peranan penting dan mendapatkan kepadatan padi yang optimum. (Wamishe et al., 2015)

Walau bagaimanapun, amalan yang paling berkesan kekal memilih biji benih padi bebas patogen, biji benih sah dan memastikan lot benih bebas daripada B. glumae memerlukan ujian yang sangat sensitif. Selama beberapa dekad, asid oksolinik—antibiotik kuinolon—merupakan satu-satunya rawatan kimia terhadap BPB, digunakan sebagai rawatan benih dan semburan daun. Burkholderia glumae, bakteria yang ideal membiak pada suhu tinggi, telah berkembang. Mutasi dalam enzim bakteria penting, DNA gyrase (khususnya subunit GyrA), telah menyebabkan banyak strain bakteria tahan terhadap asid oksolinik, menyebabkan kawalan kimia tidak lagi efektif (Maeda et al., 2004, 2007). Penyebaran rintangan terhadap antibiotik menjejaskan keberkesanannya dalam mengawal patogen. Meskipun keberkesanan kaedah ini telah dibuktikan di peringkat makmal, keupayaannya untuk bertahan dalam keadaan sebenar di lapangan masih belum jelas. Oleh itu, penyelesaian yang mampan dan berskala diperlukan bagi mengawal Burkholderia glumae serta membendung peningkatan rintangan, sekali gus mengurangkan kesan negatif terhadap industry beras dan keselamatan makanan.

 

Oleh: Profesor Madya Dr. Ts. Siti Izera Ismail

 

Rujukan

Maeda, Y., Kiba, A., Ohnishi, K., and Hikichi, Y. 2004. Implications of amino acid substitutions in GyrA at position 83 regarding oxolinic acid resistance in field isolates of Burkholderia glumae, a causal agent of bacterial seedling rot and grain rot of rice. Appl. Environ. Microbiol. 70:5613-5620.

Maeda, Y., Kiba, A., Ohnishi, K., and Hikichi, Y. 2007. Amino acid substitutions in GyrA of Burkholderia glumae are implicated in not only oxolinic acid resistance but also fitness on rice plants. Appl. Environ. Microbiol. 73:1114-1119.

Wamishe, Y., Kelsey, C., Belmar, S., Gebremariam, T., and McCarty, D. 2015. Bacterial Panicle Blight of Rice in Arkansas. University of Arkansas Division of Agriculture Research & Extension FSA7580 

Tarikh Input: 30/04/2025 | Kemaskini: 26/05/2025 | s_hasimah

PERKONGSIAN MEDIA

INSTITUT PERTANIAN TROPIKA DAN SEKURITI MAKANAN (ITAFoS)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 1043
03-9769 4299
F, (01:47:40am-01:52:40am, 23 Mar 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]