(Sumber: Illisriyani Ismail, 2025)
Persepsi masyarakat Malaysia terhadap penghasilan produk akuakultur yang lestari menunjukkan dua sisi pandang yang berbeza: semakin ramai yang sedar tentang kepentingan menjaga alam sekitar, tetapi dalam masa yang sama masih ada beberapa halangan untuk berubah kepada kaedah yang lebih lestari dan mesra alam, seperti pelaksanaan kaedah akuakultur berasaskan Amalan Akuakultur Baik (Good Aquaculture Practices atau GaqP) atau berasaskan alam semula jadi (nature-based aquaculture atau NbA). Kajian mendapati bahawa walaupun orang ramai semakin faham tentang isu alam sekitar dan kesihatan yang berkait dengan kaedah akuakultur tradisional atau konvensional, penerimaan terhadap produk akuakultur daripada kaedah yang lebih lestari masih dalam peringkat awal. Kaedah seperti ternakan ikan bersama rumpai laut, sistem polikultur, serta amalan di bawah GaqP seperti penggunaan makanan ikan yang lebih selamat, pengurusan sisa yang baik, dan pemantauan kualiti air mula mendapat perhatian. Walaupun masih baru, penerimaan masyarakat semakin terbuka terhadap produk ini.
Masyarakat awam merupakan pihak terpenting yang boleh memainkan peranan besar dalam mencapai amalan akuakultur yang lestari, kerana mereka boleh memilih sama ada untuk menerima dan membeli atau menolak sesuatu produk akuakultur. Kajian oleh Leng et al. (2020) menekankan bahawa dengan peningkatan kesedaran dan akses kepada maklumat yang sahih, masyarakat atau pengguna bersedia untuk mengutamakan keselamatan makanan dan menyokong produk akuakultur yang diternak secara lestari. Ini menunjukkan potensi besar produk akuakultur bertauliah untuk meraih kepercayaan pengguna, dengan syarat pelabelan dibuat secara telus dan amalan penternakan yang selamat dipastikan. Oleh itu, adalah penting untuk terus memperkukuh pendidikan awam, mempromosikan pelabelan mesra alam, dan menguatkuasakan piawaian pengurusan akuakultur terbaik bagi memastikan industri ini kekal sebagai sumber protein yang selamat dan boleh dipercayai untuk kegunaaan isi rumah di Malaysia.
Namun, penerimaan ini masih dihadkan oleh beberapa kekangan. Sebahagian besar masyarakat masih sangat peka terhadap harga, dan cenderung mengutamakan kos serta ketersediaan berbanding ciri-ciri kelestarian. Produk akuakultur secara tradisional atau konvensional masih menjadi pilihan utama kerana faktor harga yang lebih murah, menunjukkan bahawa faktor ekonomi boleh mengehadkan peralihan kepada produk GaqP atau NbA. Tambahan pula, masih wujud kekeliruan dan kurangnya pengetahuan tentang perbezaan kualiti di antara ikan ternakan dan ikan liar, meskipun kajian menunjukkan bahawa penternakan ikan yang diurus dengan baik juga menghasilkan hasil pemakanan dan keselamatan yang setara (Goh et al., 2023).
Dari sudut pasaran, situasi ini menunjukkan wujudnya ruang pasaran yang semakin berkembang untuk produk akuakultur lestari dan berasaskan alam, terutamanya dalam kalangan pengguna yang prihatin terhadap alam sekitar dan kesihatan. Kajian oleh Roslina et al. (2023) menunjukkan bahawa semakin ramai pengguna bersedia membayar lebih untuk produk yang mematuhi GAqP, dengan syarat pelabelan yang jelas dan kepercayaan terhadap sistem pensijilan dapat dibina. Ini membuka peluang kepada pengeluar untuk menambah nilai dan membezakan produk mereka melalui pendekatan yang lestari.
Persepsi masyarakat yang semakin berkembang ini mempunyai implikasi besar kepada strategi pasaran dan dasar negara. Usaha meningkatkan pendidikan awam tentang produk akuakultur yang lestari seperti produk akuakultur melalui amalan GaqP atau NbA, memperkukuh ketelusan melalui pensijilan, serta memastikan produk lestari mampu milik mampu mempercepatkan permintaan masyarakat terhadap produk yang lebih hijau. Langkah-langkah ini seiring dengan dasar kerajaan dalam mempromosikan perikanan dan akuakultur lestari, menyokong matlamat negara terhadap ketahanan iklim dan pemeliharaan biodiversiti melalui pendekatan akuakultur yang baik serta mesra alam semula jadi.
Kesimpulannya, walaupun penerimaan masyarakat terhadap produk akuakultur yang lestari adalah optimistik namun lebih berhati-hati, intervensi bersasar mampu mengubah persepsi mereka terhadap produk akuakultur yang lebih lestari dan mesra alam.
Nota: Artikel ini merupakan sebahagian daripada kajian yang sedang dijalankan bertajuk "Climate-Adaptive, Inclusive, Nature-based Aquaculture (CAINA) in Malaysia and Solomon Islands" tajaan WorldFish (atau International Center for Living Aquatic Resources Management, ICLARM).
Rujukan:
Goh, E. V., Azam-Ali, S., Mitra, S. R., & McCullough, F. (2023). Consumer perception versus scientific evidence of farmed and wild fish: insights from Malaysia. Asia Pacific Journal of Sustainable Agriculture, Food and Energy, 11(2), 82–99. https://doi.org/10.36782/apjsafe.v11i2.226
Leng, S. T. K., Weng, C. N., Tan, M. L., Wee, S. T., & Samat, N. (2020). Consumer Awareness and Acceptance of Aquaculture Practices and Products in Penang, Malaysia. In N. Samat, J. Sulong, M. Pourya Asl, P. Keikhosrokiani, Y. Azam, & S. T. K. Leng (Eds.), Innovation and Transformation in Humanities for a Sustainable Tomorrow, vol 89. European Proceedings of Social and Behavioural Sciences (pp. 730-741). European Publisher. https://doi.org/10.15405/epsbs.2020.10.02.68
Roslina, K., Rozana, S., Soon, J.-J., Musa, R., & Nur Amin, N. A. (2023). Consumers' preference and willingness-to-pay for GAqP-compliant farmed fish produce: Evidence from Malaysia. Aquaculture, 568, 739305. https://doi.org/10.1016/j.aquaculture.2023.739305
Oleh: Syahaneem Mohamad Zainalabidin (ITAFoS, UPM) dan Illisriyani Ismail (Pusat Penyelidikan Dasar, Universiti Sains Malaysia
Tarikh Input: 29/07/2025 | Kemaskini: 29/07/2025 | noorbaiti

Institut Pertanian Tropika dan Sekuriti Makanan
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
Malaysia