Perubahan iklim kini mengubah dinamik pengeluaran dan keselamatan makanan secara ketara, dengan pencemaran mikotoksin muncul sebagai satu ancaman serius yang semakin meningkat. Mikotoksin ialah metabolit sekunder toksik yang dihasilkan terutamanya oleh kulat daripada genus Aspergillus, Fusarium, dan Penicillium. Peningkatan insiden dan penyebaran mikotoksin ini berkait rapat dengan perubahan iklim seperti peningkatan suhu, kemarau berpanjangan, taburan hujan yang tidak menentu, banjir, dan kelembapan tinggi yang semuanya merupakan keadaan yang ideal bagi pertumbuhan kulat dan penghasilan mikotoksin. Tambahan pula, sebatian toksik ini membawa risiko besar terhadap keselamatan dan keterjaminan makanan, perdagangan tempatan dan antarabangsa, serta kesihatan awam.
Mikotoksin diketahui mencemari pelbagai jenis tanaman termasuk jagung, padi, gandum, kacang tanah, kekacang, dan rempah yang semuanya merupakan komoditi asas dalam sistem makanan global dan serantau. Mikotoksin utama yang menjadi kebimbangan termasuk aflatoksin, fumonisin, okratoksin A, zearalenone, dan trichothecenes. Pendedahan kronik terhadap mikotoksin ini dalam diet manusia dan haiwan dikaitkan dengan hepatotoksisiti, nefrotoksisiti, imunosupresi, karsinogenik, pertumbuhan terbantut, malah kematian dalam kes pendedahan yang teruk. Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) menganggarkan bahawa sehingga 25% tanaman dunia terjejas oleh mikotoksin setiap tahun, mengakibatkan kerugian ekonomi yang besar, dan peningkatan ketidaktentuan dalam keterjaminan makanan.
Apabila zon agroekologi berubah, kawasan yang sebelum ini tidak tergolong dalam kategori berisiko tinggi kini mengalami peningkatan tahap pencemaran mikotoksin serta kepelbagaian jenis mikotoksin yang terlibat. Keadaan ini memberi kesan langsung terhadap keterjaminan makanan, khususnya di kawasan tropika dan subtropika yang sering kali mempunyai infrastruktur lepas tuai yang terhad serta mengalami ketidaktentuan iklim yang tinggi.
Seolah-olah ancaman mikotoksin yang sedia ada belum cukup serius, landskap pertanian kini turut diburukkan lagi oleh kemunculan mikotoksin tersembunyi (masked mycotoxins) iaitu bentuk konjugat mikotoksin yang terikat kepada metabolit tumbuhan, dan tidak dapat dikesan menggunakan kaedah analisis konvensional. Sebatian ini, seperti zearalenone-14-glukosida dan DON-3-glukosida, boleh dihidrolisis dalam saluran gastrousus, lalu membebaskan semula bentuk toksik asal dan menyebabkan anggaran pendedahan dalam penilaian keselamatan makanan menjadi kurang tepat. Tambahan pula, mikotoksin baru seperti moniliformin, enniatin dan beauverisin yang dihasilkan oleh spesies Fusarium dan Alternaria yang kurang dikaji, kini semakin kerap dikesan dalam rantaian makanan global walaupun kepentingan toksikologinya masih dalam siasatan. Perkembangan ini menuntut keperluan mendesak untuk teknologi pengesanan lanjutan, model penilaian risiko yang mengambil kira mikotoksin tersembunyi dan baru, serta kerangka peraturan yang proaktif bagi menangani risiko yang diketahui dan belum diketahui terhadap keselamatan serta keterjaminan makanan.
Usaha mitigasi risiko mikotoksin memerlukan pendekatan pelbagai pihak serta intervensi yang diselaraskan sepanjang rantaian makanan. Pertama, pengeluar dan petani digalakkan untuk mengamalkan Amalan Pertanian Baik (GAP) termasuk penggiliran tanaman yang sesuai, penuaian pada waktu yang tepat, pengeringan mencukupi, penyimpanan yang betul, serta sistem pengairan yang baik. Penggunaan varieti tanaman yang lebih tahan kemarau atau tahan serangan kulat juga merupakan kaedah penting. Kedua, pembuat dasar perlu memperkukuh kerangka perundangan, menambah baik komunikasi risiko, menyokong kempen pendidikan awam, dan memperuntukkan sumber bagi pemantauan, peningkatan kapasiti makmal, serta latihan kepada petani. Penyeragaman dengan piawaian Codex Alimentarius adalah penting bagi memudahkan perdagangan selamat dan melindungi kesihatan awam. Di Malaysia, sebagai contoh, had mikotoksin ditetapkan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985. Namun, penguatkuasaan perlu disokong oleh pelaburan dalam kapasiti ujian dan infrastruktur lepas tuai. Ketiga, penyelidik dan makmal perlu terus memajukan alat pengesanan awal, model ramalan iklim, serta pendekatan kawalan biologi baharu yang disesuaikan mengikut ekosistem agro masing-masing.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kawalan biologi telah muncul sebagai alternatif yang lestari dan mesra alam kepada kaedah kawalan konvensional seperti kawalan fizikal dan kimia. Salah satu strategi yang menjanjikan ialah penggunaan strain Aspergillus flavus yang bukan aflatoksigenik untuk menyingkirkan strain aflatoksigenik dalam tanaman seperti jagung melalui persaingan mendapatkan nutrien dan habitat dalam agroekosistem yang sama. Kaedah ini telah menunjukkan keberkesanan dalam mengurangkan tahap aflatoksin di ladang di Afrika, dan kini sedang dinilai secara rintis di beberapa bahagian di Asia.
Selain penggunaan mikroorganisma antagonistik, ekstrolit kulat iaitu metabolit sekunder yang dihasilkan oleh kulat bukan toksigenik atau kulat antagonis menunjukkan potensi dalam merencat pertumbuhan kulat mikotoksigenik serta menghalang penghasilan mikotoksin. Sebagai contoh, metabolit yang dihasilkan oleh strain Aspergillus flavus bukan aflatoksigenik dan beberapa spesies Trichoderma (kulat mikoparasit) didapati mempunyai aktiviti antikulat dan boleh mengganggu ekspresi kluster gen biosintetik mikotoksin dalam Fusarium dan Aspergillus. Kajian lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti, memencil, dan memformulakan ekstrolit ini menjadi agen bioaktif yang boleh diintegrasikan dalam strategi pengurusan sebelum dan selepas tuai. Sifat khusus, keselamatan terhadap alam sekitar, dan peranan pelbagai fungsi menjadikan ekstrolit ini calon yang berpotensi dalam pembangunan teknologi kawalan biologi generasi baharu.
Persilangan antara perubahan iklim, pencemaran mikotoksin dan keterjaminan makanan merupakan cabaran yang kompleks dan terus berkembang. Kemajuan saintifik, khususnya dalam bidang kawalan biologi dan kajian metabolit kulat, menawarkan potensi besar. Walau bagaimanapun, pendekatan pelbagai sektor dan disiplin amat diperlukan, yang melibatkan kerjasama antara pengeluar, pengawal selia, penyelidik, dan pengguna untuk melindungi keselamatan makanan dan kesihatan awam dalam persekitaran global yang pantas berubah. Dengan inovasi saintifik, dasar yang kukuh dan penglibatan petani, kita mampu melindungi bekalan makanan, dan memastikan apa yang mengenyangkan kita, tidak memudaratkan kita.
Artikel ini ditulis oleh Prof. Madya Dr. Nik Iskandar Putra Samsudin. Beliau adalah penyelidik bersekutu Makmal Keselamatan dan Integriti Makanan, Institut Pertanian Tropika dan Sekuriti Makanan, UPM. Beliau juga merupakan profesor madya di Jabatan Sains Makanan, Fakulti Sains dan Teknologi Makanan, UPM. Emel: nikiskandar@upm.edu.my
Tarikh Input: 02/03/2026 | Kemaskini: 02/03/2026 | noordiana

Institut Pertanian Tropika dan Sekuriti Makanan
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
Malaysia