
Seperti yang kita sedia maklum, Hari Raya Aidiladha semakin menghampiri dan ini adalah masa bagi umat Islam untuk menghayati dan memperingati kepatuhan Nabi Ibrahim (AS) untuk mengorbankan anaknya Nabi Ismail (AS) atas perintah Allah SWT. Sepanjang sambutan Aidiladha, umat Islam yang berkemampuan akan melaksanakan ibadah korban dengan menyembelih binatang ternakan seperti lembu, kambing, atau unta. Daging hasil sembelihan ini kemudian akan diagihkan kepada golongan yang memerlukan, termasuk fakir miskin, jiran tetangga, dan sanak saudara.
Namun begitu, kita sering kali mendengar isu seperti kes keracunan makanan serta makanan berulat disepanjang musim perayaan. Ini menunjukkan bahawa masyarakat umum perlu lebih cakna dan peka terhadap aspek kebersihan dan keselamatan makanan, khususnya dalam mengendalikan makanan sepanjang tempoh perayaan. Dengan mengamalkan langkah-langkah keselamatan di bawah, diharapkan agar kes keracunan makanan atau pembaziran disebabkan makanan busuk dapat dielakkan.
Pertama sekali, proses penyembelihan perlulah dilakukan dengan kaedah yang bersih. Alatan penyembelihan seperti pisau, tali, pengasah pisau, meja bagi memproses daging, alat penimbang, dan bekas menyimpan daging haruslah bersih. Proses penyembelihan juga perlu dilakukan dikawasan yang bersih dan pengendali daging perlulah mengelakkan berlakunya pencemaran silang diantara daging sembelihan dan darah serta organ seperti perut yang mengandungi banyak bakteria. Sisa sembelihan dan tulang haiwan perlu dikendalikan dengan betul bagi mengelakkan kehadiran haiwan perosak serta pemandangan dan bau yang tidak menyenangkan.
Seterusnya, setelah proses penyembelihan berlaku, daging korban perlu disimpan segera pada suhu sejuk sebelum dimasukkan ke dalam peti ais. Ini bagi mengelakkan pertumbuhan bakteria dan meningkatkan kualiti daging. Proses ini dikenali sebagai meat resting di mana otot-otot daging dibenarkan untuk relaks dan menghasilkan tekstur yang lebih baik. Selepas disejukkan dalam masa sehari, daging boleh dibekukan jika belum mahu dimasak. Daging juga perlu disimpan di dalam bekas yang bersih dan boleh disimpan di dalam beberapa bekas mengikut sukatan yang dikehendaki bagi mengelakkan proses nyahbeku berulang kali.
Seperti kebiasaanya, daging yang disembelih akan diagihkan kepada individu terdekat. Bagi memastikan pengagihan yang selamat, plastik ataupun bekas yang digunakan haruslah bersih dan menggunakan bekas gred makanan. Proses pengagihan perlu dilakukan segera dan elakkan daging terdedah terlalu lama tanpa penutup serta dibiarkan pada suhu tinggi.
Selepas penyimpanan di dalam peti beku, daging yang ingin dimasak perlu melalui proses nyahbeku yang betul. Cara paling mudah ialah dengan menyahbeku di dalam peti sejuk. Sebagai contoh, jika daging ingin dimasak pada keesokan hari, pindahkan daging dari bahagian beku ke bahagian sejuk pada malam hari dan biarkan daging nyahbeku perlahan-lahan dalam tempoh 10 ke 18 jam. Selain itu, daging juga boleh dinyahbeku di bawah air yang mengalir sehingga daging lembut ataupun menggunakan ketuhar gelombang mikro. Hanya set proses nyahbeku pada ketuhar dan biarkan daging lembut. Perlu diingatkan bahawa setelah proses nyahbeku selesai, daging perlu terus dimasak dan elakkan daging terdedah pada suhu bilik terlalu lama bagi mengelakkan pertumbuhan bakteria.
Proses memasak juga perlu dilakukan dengan betul. Suhu dalaman bagi daging yang dipotong kecil haruslah mencapai 70ºC. Jika daging akan dimakan untuk dua tempoh yang berbeza, contohnya untuk makan tengahari dan makan malam, asingkan juadah untuk makan malam dalam bekas yang berbeza dan simpan di dalam peti sejuk. Hanya panaskan juadah dalam ketuhar gelombang mikro sebelum dimakan. Proses memasak dan menyimpan juadah perlu dilakukan dengan betul bagi mengelakkan makanan basi seterusnya mengelakkan keracunan makanan ataupun pembaziran.
Akhir sekali, pengendali makanan haruslah mengamalkan kebersihan seperti sentiasa membasuh tangan dengan sempurna dan menggunakan peralatan memasak yang bersih. Sisa makanan juga perlu dibuang dengan betul. Dengan mengamalkan tips keselamatan makanan di atas, kita akan dapat memastikan kebersihan serta kualiti daging korban serta juadah yang dihasilkan. Hal ini bukan sahaja melindungi kesihatan pengguna, malah turut mencerminkan nilai-nilai positif seperti keprihatinan, tanggungjawab, dan penghormatan yang terkandung dalam ibadah korban.
Artikel ini telah ditulis oleh Dr. Noor Azira Abdul Mutalib. Beliau adalah Pensyarah Kanan di Jabatan Pengurusan dan Khidmat Makanan, Fakulti Sains dan Teknologi Makanan, Universiti Putra Malaysia. Beliau juga adalah Penyelidik Bersekutu di Laboratori Keselamatan Makanan dan Integriti Makanan, Institut Pertanian Tropika dan Sekuriti Makanan, Universiti Putra Malaysia. Beliau boleh dihubungi pada alamat email berikut: n_azira@upm.edu.my
Tarikh Input: 03/06/2025 | Kemaskini: 03/06/2025 | noordiana

Institut Pertanian Tropika dan Sekuriti Makanan
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
Malaysia